Contact us

My Cart
RM0.00
Blog

Nak Pantau Paras Gula Sendiri Semasa Hamil, Berapa Sebenarnya Bacaan Gula Yang Normal?

Apakah yang dimaksudkan Diabetes Mellitus semasa kehamilan?

Diabetes semasa hamil atau biasanya dipanggil sebagai Gestational Diabetes Mellitus (GDM) merupakan satu keadaan serius yang berlaku kepada wanita hamil yang sebelum ini tidak menghidap diabetes, tetapi kini mempunyai paras glukosa darah yang lebih tinggi dari paras mereka yang hamil normal.

Apakah bezanya antara diabetes semasa kehamilan dengan diabetes yang lain?

Semasa kehamilan, kesan insulin akan terganggu sedikit disebabkan oleh pelbagai hormon yang dihasilkan oleh plasenta/uri (organ yang membekalkan zat pemakanan kepada bayi melalui tali pusat) . Ini dikenali sebagai rintangan insulin. Beberapa hormon seperti estrogen, kortisol dan human placental lactogen akan mengganggu pengeluaran insulin. Plasenta anda akan membesar pada trimester kedua dan ketiga, di mana lebih banyak hormon penghalang dikeluarkan dan seterusnya menyebabkan rintangan yang lebih tinggi terhadap tindakan insulin. Semakin plasenta membesar semakin banyaklah hormon-hormon ini dihasilkan dan semakin tinggi rintangan insulin yang terjadi. Lazimnya, organ pankreas akan bertindak balas dengan menghasilkan insulin tambahan untuk menangani rintangan tersebut. Jika ia gagal maka GDM akan berlaku. Biasanya pesakit akan pulih selepas melahirkan anak. Walau bagaimanapun pesakit menghadapi risiko yang lebih tinggi untuk menghidap diabetes kemudian nanti.

Siapakah yang berisiko mengalami GDM?

Sesiapa sahaja boleh mengalami GDM semasa kehamilan. Pesakit yang sememangnya menghidapi diabetes berisiko tinggi menghidap GDM. Namun, wanita boleh menghidap GDM tanpa sebarang penyakit diabetes sebelumnya. Faktor-faktor yang meningkatkan kemungkinan berlakunya GDM termasuklah:

  • Mempunyai sejarah keluarga menghidapi diabetes
  • Berusia 25 tahun dan ke atas
  • Mempunyai berat badan berlebihan
  • Pernah menghidapi GDM di kehamilan yang lepas
  • Pernah mengalami keguguran berturut-turut

GEJALA/TANDA

Lazimnya wanita tidak menunjukkan sebarang tanda amaran walaupun kemungkinan sesetengah wanita merasa teramat dahaga, kerap buang air kecil dan kelesuan. Ramai wanita yang menghidap GDM tidak menunjukkan sebarang faktor risiko.

Doktor akan menjalankan ujian darah Modified Oral Glucose Tolerance Test (MGTT) ke atas anda untuk mengesan GDM sama ada semasa lawatan pertama jika anda berisiko tinggi atau pada minggu ke 24 hingga 28 kehamilan, jika risiko anda tidak begitu tinggi. Jika ujian pertama untuk wanita yang berisiko tinggi negatif, maka ujian kedua perlu dilakukan antara minggu ke 24 hingga ke 28.

Apakah ujian MGTT?

Ujian akan dijalankan selepas pesakit berpuasa semalaman dari pukul 10.00 malam sebelumnya. Sampel darah untuk menentukan paras gula dalam darah akan diambil pada awal pagi diikuti meminum glukosa (75 gm glukosa di larutkan dalam 250ml air). Ujian ini selesai apabila pengukuran paras gula dalam darah diambil 2 jam berikutnya.

Interpretasi hasil ujian

Venous plasma glucose (mmol/l)
Fasting2 hours post glucose load 
Normal< 5.1< 7.8 
GDM>= 5.1>= 7.8 

Bacaan di bawah 7.8 mmol/L biasanya dianggap normal untuk ujian MGTT ini tetapi doktor mungkin akan mengulangi ujian tersebut jika anda berisiko tinggi.

RAWATAN

Rawatan untuk GDM termasuklah mengambil langkah-langkah untuk memastikan paras glukosa darah anda sentiasa berada di paras normal ketika mengandung.

Doktor akan menasihatkan anda supaya mengikuti pelan pemakanan yang sesuai dan juga meningkatkan aktiviti fizikal supaya paras glukosa darah yang tinggi dapat dikurangkan.

Sesetengah wanita yang menghidap GDM mungkin memerlukan suntikan insulin, selain daripada amalan pemakanan sihat dan bergiat aktif dalam aktiviti fizikal, untuk mencapai paras glukosa darah yang disarankan.

Selepas bayi anda dilahirkan dan hormon plasenta sudah tidak lagi mengalir dalam badan anda, paras glukosa dalam darah anda biasanya akan kembali ke paras normal (melainkan jika paras glukosa anda sememangnya sudah tinggi, tetapi tidak disedari, sebelum hamil). Oleh itu, anda tidak perlu berasa terlalu bimbang terhadap keadaan ini, namun begitu, anda perlu menjaga diri dengan baik dan nikmatilah kehamilan.

Jika anda memang menghidap diabetes dan bercadang untuk hamil, anda perlu berusaha untuk mengawal diabetes pada tahap optima beberapa bulan sebelum mengandung kerana paras glukosa yang tinggi semasa trimester pertama akan meningkatkan risiko kelahiran bayi cacat.

KOMPLIKASI

Ini bergantung pada tahap penjagaan kesihatan diri anda sendiri. Jika paras gula di dalam darah dapat dikawal dengan baik sepanjang kehamilan, komplikasi untuk mengalami masalah ini dapat dikawal dan dicegah. Jika paras gula di dalam darah berlebihan, maka ia akan berpindah ke bayi menerusi plasenta dan menyebabkan bayi anda juga mengalami paras glukosa darah yang tinggi. Oleh kerana itu, pankreas bayi anda turut bertindak menghasilkan insulin tambahan untuk merendahkan paras glukosa darah yang tinggi

Bayi akan mendapat tenaga (dalam bentuk glukosa) yang berlebihan dari yang diperlukannya, dan tenaga lebihan ini akan tersimpan sebagai lemak badan yang akan menyebabkan makrosomia (didefinisikan sebagai bayi yang lahir dengan berat 4.0kg atau lebih).

Paras gula di dalam darah bayi akan diawasi dengan teliti semasa penjagaan bayi dan adalah perlu memberi glukosa secara intravena kepada bayi jika paras gula terlalu rendah. Bayi juga mudah terdedah kepada Jaundis yang berpanjangan, ketidakimbangan paras elektrolit di dalam darah seperti paras serum kalsium dan magnesium yang rendah, masalah pernafasan mahu pun kecacatan bayi.

Adalah dipercayai bahawa bayi yang bersaiz besar cenderung menjadi obes di masa akan datang.

Bayi anda juga berisiko untuk menjadi obes dan menghidap diabetes jenis 2 apabila dewasa kelak.

Pemeriksaan ultrasound semasa antenatal adalah berguna untuk mengawasi saiz bayi dan mengesan polihidramnios. Seperti pesakit diabetes yang lain, ibu yang hamil dengan GDM adalah berisiko tinggi untuk mengalami komplikasi seperti jangkitan pada saluran kencing, diabetik ketoasidosis, dan jangkitan kulat pada kulit. Mereka juga mudah terdedah kepada kelahiran pramatang disebabkan Polihidramnios dan bayi yang bersaiz besar.

GDM juga boleh mendatangkan masalah kepada ibu. Dalam kebanyakan kes, jika bayi anda besar, anda akan mengalami kerumitan ketika melahirkan bayi dan anda mungkin perlu menjalani pembedahan Caesarean.

Anda juga berisiko tinggi mendapat praeklampsia (berkait dengan peningkatan tekanan darah yang tinggi yang boleh menjadi serius, sehingga membahayakan keadaan bayi dan diri anda) semasa kehamilan.

Anda juga lebih mudah untuk mendapat GDM lagi semasa kehamilan akan datang. Menurut Institut Kesihatan Kebangsaan (National Institute of Health, NIH) Amerika Syarikat, wanita yang pernah mengalami GDM mempunyai 20 hingga 50 peratus kemungkinan untuk mendapat diabetes jenis 2 dalam tempoh 5 hingga 10 tahun selepas kehamilan.

Walau bagaimanapun, ini boleh dicegah – seperti yang telah dibuktikan dalam beberapa kajian ternama yang menunjukkan bahawa pengubahsuaian gaya hidup sahaja atau dengan penambahan ubat-ubatan oleh individu yang berisiko tinggi (termasuk wanita yang menghidap GDM) dapat mengurangkan risiko menghidap diabetes jenis 2 sehingga 58 peratus.

Adakah GDM menjejaskan proses pelahiran dan kelahiran?

GDM itu sendiri bukanlah merupakan penunjuk bagi pembedahan Caesarean. Namun jika bayi terlalu besar untuk menjalani kelahiran normal melalui faraj, atau jika bayi dalam tidak dapat dilahirkan secara normal, maka kelahiran secara Caesarean sangat diperlukan. Jika bayi sangat besar, ia kemungkinan akan mengalami trauma semasa kelahiran, terutamanya kecederaan tulang dan saraf di sekitar bahu. Semoga bermanfaat! 

Leave your thought

Select the fields to be shown. Others will be hidden. Drag and drop to rearrange the order.
  • Image
  • SKU
  • Rating
  • Price
  • Stock
  • Availability
  • Add to cart
  • Description
  • Content
  • Weight
  • Dimensions
  • Additional information
  • Attributes
  • Custom attributes
  • Custom fields
Compare
Wishlist 0
Open wishlist page Continue shopping