3 Cara Praktikal Atasi Sembelit Bayi Agar Anak Kecil Tidak Meraung Kesakitan Lagi.

Bayi sudah boleh mengambil makanan separa pejal apabila usianya cukup 6 bulan. Kebiasaannya ibu bapa pasti teruja ingin merasai pengalaman baharu menyuap anak kecil bubur dan pelbagai lagi makanan separa pejal yang sesuai untuk peringkat usianya.

Namun begitu, apabila bayi diberi makanan separa pejal, maka bermulalah mimpi ngeri bagi setiap ibu bapa iaitu bayi sembelit. Terutama buat ibu bapa muda yang baru sahaja menimang cahaya mata.

Walaupun sembelit tidak termasuk dalam kategori penyakit, ianya satu fenomena yang merungsingkan kepala ibu bapa. Tak sanggup rasanya melihat bayi seawal usia 6 bulan ke atas bersusah payah membuang air besar. 

Kebiasaannya, bayi yang hanya diberikan susu badan tidak mengalami sembelit. Susu badan mudah dihadam jika dibandingkan dengan susu formula. Jika bayi membuang air besar 3 hari sekali, ianya masih dikira normal sekiranya tiada tanda-tanda bayi atau kanak-kanak itu mengalami sembelit.

Punca Bayi Sembelit

Dalam kebanyakan kes yang berlaku, sembelit mula disyaki apabila bayi atau kanak-kanak itu hanya membuang air besar sebanyak tiga kali dalam seminggu. Ini menyebabkan mereka tiada selera untuk makan dan perut menjadi kembung.

Terdapat beberapa punca yang boleh mengakibatkan bayi mengalami sembelit. 

Dr. Zubaidi menerangkan, antara punca utama berlakunya sembelit adalah pengambilan susu formula oleh bayi. Selain itu, pemberian makanan pejal untuk bayi berusia 6 bulan dan ke atas juga boleh menyumbang kepada bayi sembelit.

Terdapat juga kes bayi mengalami sembelit apabila berlaku gejala demam, selsema, jangkitan pada tekak dan mula tumbuh gigi. Gejala-gejala ini boleh menjadi penyebab kepada kekurangan air dalam badan atau disebut dehidrasi.

Bagi mengelakkan dehidrasi yang berterusan, selalunya tubuh akan menyerap lebih banyak air daripada najis bagi menampung kekurangan air di dalam badan. Ini menyebabkan najis menjadi lebih kering dan keras, akhirnya menyebabkan najis disimpan lebih lama dalam usus besar dan menyebabkan sembelit.

Cara Mengatasi Sembelit

Bagi mengurangkan risiko bayi mengalami sembelit tanpa menggunakan ubat mencairkan najis, ibu bapa atau penjaga bayi boleh melakukan 3 perkara berikut:

1. Buat Gerakan Kayuhan Basikal

Angkat kedua-dua kaki bayi. Kemudian, tolak kakinya ke atas perlahan-lahan. Selepas itu, gerakkan kedua-dua kakinya seakan-akan mengayuh basikal. Ini akan merangsang pergerakan najis di dalam usus.

2. Beri Makanan Yang Kaya Dengan Serat

Jika bayi yang berusia lebih enam bulan ke atas dan menyusu susu formula, boleh berikan makanan separuh pepejal seperti lobak yang dikisar dan disediakan secara segar. Berikan pada kadar yang berpatutan dan minta nasihat doktor. Ini akan menambah kandungan serat dalam pemakanan mereka dan memudahkan mereka buang najis dengan lebih mudah.

3. Menyediakan Jus Buah-buahan 

Bagi anak-anak yang berumur satu tahun ke atas boleh diberikan air buah-buahan seperti tembikai atau air mineral suam dalam kadar yang berpatutan. Memberikan jus betik yang dikisarkan juga sangat baik untuk mereka, kerana selain mempunyai banyak serat, betik juga mengandungi bahan semulajadi yang dapat merangsang pergerakan usus.

Jika anda telah mencuba cara-cara berikut dan bayi masih mengalami sembelit, singgah lah ke klinik berdekatan tempat tinggal anda. Kemudian, dapatkan daripada doktor nasihat dan rawatan yang sewajarnya diberikan untuk anak kecil anda.

Anda mungkin juga meminati:

Dulu Anak Terseksa Membuang Air Besar, Kini Lebih Mudah Dengan Balm T-Rub

Rujukan artikel: Facebook Dr. Zubaidi
Sumber: Featured image by joffi from Pixabay