Contact us

My Cart
RM0.00
Ibu hamil boleh berpuasa?

Ibu hamil boleh berpuasa?

Tinggal beberapa hari lagi sebelum masuk bulan turunnya Al-Quran, iaitu bulan Ramadhan di mana semua umat Islam diwajibkan berpuasa.  Mesti semua umat islam di dunia ini sangat gembira bila hadirnya bulan yang penuh rahmat ini. Bagi ibu yang sedang hamil, mesti banyak persoalan tentang puasa yang tengah berlegar di fikiran anda bukan?

Tempoh kehamilan 40 minggu atau 9 bulan memungkinkan ramai wanita Muslim yang mengandung akan melewati bulan Ramadan semasa hamil. Mengikut mazhab Imam Syafie, ibu hamil yang ragu-ragu untuk berpuasa dan takut memudaratkan kesihatan diri atau kandungan, ibu tersebut diwajibkan untuk berbuka. Puasa itu boleh digantikan nanti.

Puasa bagi ibu hamil

Berpuasa dalam Islam bagi ibu hamil ialah diharuskan untuk berbuka jika mengalami 2 situasi ini. Yang pertama ialah, ibu hamil yang berpuasa dan ia dapat membahayakan kesihatan diri sendiri atau berpuasa dan membahayakan kesihatan kandungan. 

Tahap kesihatan kandungan dan kekuatan diri menjadi salah satu faktor kerisauan untuk berpuasa. Hal ini kerana ibu hamil akan mengalami risiko yang tinggi jika ingin teruskan berpuasa. Paras kandungan gula dalam darah ibu hamil lebih rendah berbanding wanita tidak hamil kerana darah ibu perlu sentiasa membekalkan gula glukos kepada bayi.

Di sini terdapat tiga kategori ibu hamil yang perlu diberikan perhatian khusus sebelum berpuasa. Para ibu hamil disarankan untuk mendapat pengesahan atau nasihat daripada doktor sebelum mengambil risiko untuk berpuasa supaya tidak memudaratkan. 

3 kategori ibu hamil yang perlu diberikan perhatian sebelum berpuasa.

  1. Ibu hamil yang menghidap penyakit kronik seperti tekanan darah tinggi atau diabetes yang tidak terkawal. 
  2. Ibu yang kehamilannya bermasalah seperti bayi yang dikandung terencat atau berat badan tidak meningkat sebagaimana sepatutnya. 
  3. Ibu yang hamil pada trimester pertama yang mengalami muntah-muntah teruk (hyperemesis gravidarum) atau tiada selera makan.

Tidak digalakkkan berpuasa untuk Trimester pertama

Trimester pertama merupakan fasa penting bagi ibu hamil. Di peringkat ini, kesihatan fizikal dan mental bayi yang bakal lahir dipengaruhi oleh penjagaan prakehamilan dan kehamilan trimester pertama. Jika para ibu yang berpuasa pada trimester pertama, ia boleh meningkatkan risiko keguguran, berat badan bayi yang rendah semasa lahir dan tumbesaran terencat. 

Justeru itu,  ketahanan untuk berpuasa bergantung kepada tempoh kehamilan, faktor kesihatan wanita berkenaan sewaktu hamil, waktu berpuasa dan keadaan cuaca ketika itu. Para ibu tidak disarankan berpuasa pada tiga bulan pertama sekiranya mengalami gejala kehamilan serius, seperti muntah-muntah, kurang selera makan, kepenatan, pening dan pitam.

Tips pemakanan yang baik ketika berpuasa

  • Perbanyakkan minum air putih/air kosong sekurang-kurangnya 1.5 hingga 2 liter air setiap hari. 
  • Ambil makanan yang seimbang seperti sayur-sayuran, makanan berasaskan protein seperti daging, ayam, kekacang, dan karbohidrat kompleks seperti roti dan nasi 
  • Kurma dan susu untuk mendapatkan tenaga semula dengan segera semasa berbuka. 
  • Elakkan makanan bergula tinggi kerana ia boleh menyebabkan kandungan gula dalam darah naik dan turun dengan mendadak. Ini boleh mengakibatkan para ibu berasa pening dan pitam
  • Elakkan pengambilan minuman berkafein seperti teh, kopi dan minuman coklat. Minuman ini akan menyebabkan anda kerap kencing dan seterusnya dehidrasi. Dehidrasi tidak boleh dipandang enteng kerana ia boleh menyebabkan kontraksi dan keguguran atau kelahiran pramatang 

Awas! Elakkan perkara ini ketika hamil

Kebanyakan ibu hamil memang berusaha gigih mengelakkan diri mereka daripada sebarang perkara yang berpotensi membahayakan diri dan kandungan. Terdapat aktiviti yang perlu diambil kira dan perlu dijauhi oleh ibu hamil.Di sini ada beberapa aktiviti yang digalakkan atau tidak digalakkan untuk dilakukan oleh wanita hamil.

  • Elakkan terlalu aktif atau berada di bawah pancaran panas matahari dalam tempoh yang lama untuk mengelakkan dehidrasi 
  • Banyakkan berehat dan dapatkan tidur yang cukup 
  • Kurangkan senaman atau aktiviti fizikal 
  • Kurangkan tekanan

Hukum bayar puasa bagi ibu hamil

Ibu hamil yang tidak berpuasa, diwajibkan untuk ganti puasa pada hari yang lain setelah usai bulan Ramadhan atau dengan membayar fidyah. Definisi fidyah bermaksud denda yang dikenakan ke atas seseorang umat Islam yang telah baligh kerana meninggalkan puasa wajib atas sebab-sebab tertentu atau pun sengaja melewatkan puasa ganti (qada’) bulan Ramadhan.

Ibu hamil yang tidak berpuasa diwajibkan untuk membayar fidyah. Ia wajib dilaksanakan mengikut bilangan hari yang ditinggalkan. Ia merupakan satu tanggungan ataupun hutang kepada Allah SWT sekiranya tidak dilaksanakan.

Kadar bayaran fidyah

Selain itu, kadar bayaran fidyah berubah mengikut harga yang ditetapkan oleh pemerintah di sesuatu tempat. Nilai fidyah bagi satu hari tidak berpuasa boleh dikira berdasarkan nilai Zakat Fitrah yang telah ditetapkan. Pengiraan kadar fidyah berdasarkan kadar harga beras (makanan asasi penduduk). 

  • Zakat Fitrah bagi seorang ialah bersamaan 1 gantang Baghdad iaitu 2.7 kilogram.
  • Fidyah bagi satu hari ialah 1 cupak beras iaitu 675 gram.
  • Kadar fidyah ialah ¼ daripada kadar fitrah pada tahun tersebut.
  • Oleh yang demikian, jika kadar Zakat Fitrah ialah RM7.00, secara langsung kadar Fidyah ialah RM1.75 atau RM1.80 (1/4 X RM7.00).

Menurut Syeikh Muhammad al-Zuhaili dalam al-Mu`tamad fi al-Fiqh al-Syafie (2/200):

“Adapun sekiranya seseorang itu melewatkan qadha puasa Ramadhan kerana suatu keuzuran; seperti sakitnya berpanjangan, menyusukan, mengandung, atau sentiasa musafir, sehingga masuk ke Ramadhan yang lain, maka tidak wajib fidyah akibat kelewatan ini, dan wajib qadha sahaja.”

Konklusinya, hal ini sangat jelas bahawa ibu hamil yang melewatkan ganti puasa kerana beberapa penyakit seperti uzur syarie seperti mengandung, sentiasa sakit dah menyusukan anak adalah tidak diwajibkan membayar fidyah, jika mereka tidak sempat menggantikan puasa sebelum tiba bulan Ramadhan yang seterusnya. 

Semoga penjelasan ini memberikan kefahaman kepada ibu hamil di luar sana. 

Leave your thought

Select the fields to be shown. Others will be hidden. Drag and drop to rearrange the order.
  • Image
  • SKU
  • Rating
  • Price
  • Stock
  • Availability
  • Add to cart
  • Description
  • Content
  • Weight
  • Dimensions
  • Additional information
  • Attributes
  • Custom attributes
  • Custom fields
Compare
Wishlist 0
Open wishlist page Continue shopping