
Alhamdulillah. Selesai sudah perjuangan isteri untuk bertarung melahirkan cahaya mata, kini tiba giliran si suami untuk menjalankan tugas menanam uri anak sendiri.
Uri perlu dibersihkan dan ditanam sebaik mungkin kerana ia merupakan sebahagian daripada anak anda. Sebaiknya biarlah si ayah sendiri yang uruskan namun jika tidak boleh, boleh serahkan kepada mana-mana waris terdekat untuk diuruskan.
Tidaklah salah jika anda terus menanam uri tersebut tanpa dibasuh dan sebagainya namun sebaiknya dicuci dengan bersih dahulu kerana dikhuatiri baunya akan menarik perhatian haiwan liar yang dikhuatiri akan memakan uri tersebut ataupun menyebabkan bau yang kurang menyenangkan buat orang-orang lain yang berdekatan dengan tempat tanaman.
Barang penting untuk uruskan uri bayi
1. Uri
2. Garam
3. Asam Jawa
4. Kain putih + tali
5. Kain bungkusan hospital (guna semula)
Hospital akan menyerahkan satu bungkusan yang berikat dengan getah berisi uri kepada ayah bayi selesai urusan urusan kelahiran tersebut.
Langkah-langkah Basuh Uri
- Bukakan bungkusan yang diterima dari hospital.
- Letakkan uri di dalam besen dan basuh bungkusan yang diterima sehingga hilang darah.
- Baca Bismillahirramanirrahim dan lalukan air ke uri di dalam besen sehingga air yang mengalir keluar dari besen hilang warna darahnya.
- Kemudian, lumurkan garam dan asam jawa ke seluruh bahagian uri.

- Selepas lumur, bilas uri dengan air. Anda boleh lumur semula uri dengan garam dan asam jawa sekiranya bau darah masih lagi kuat. Kemudian bilas uri lagi sehingga tiada lagi darah keluar. Biarkan uri seketika.
- Sediakan kain putih dan tali yang bersesuaian untuk membungkus dan mengikat uri yang telah dibersihkan tadi.
- Lapikkan kain putih tersebut dengan bungkusan kalis air yang telah diberi oleh pihak hospital yang telah dibersihkan oleh anda awal-awal tadi.
- Letakkan uri ke atas kain putih tersebut.
- Letakkan juga sedikit garam dan asam jawa di atas uri.
- Balut uri tersebut dengan kain putih dan ikat dengan kemas dan ketat.
- Kemudian balut pula kain putih tersebut dengan bungkusan kalis air hospital dan ikat dengan kemas dan ketat.
- Gali lubang sedalam yang anda yakin tidak akan ada haiwan darat yang boleh menggalinya semula. Ada yang mencadangkan sehingga 1.5 kaki. Jika boleh, gali lubang di kawasan yang berdekatan dengan rumah anda seperti di halaman atau sebagainya.
- Kemudian, letakkan uri di dalam lubang dengan bacaan Bismillahirrahmanirrahim.
- Timbus tanah sambil pijak bagi memampatkan tanah tersebut.
- Akhir sekali letakkan satu tanda seperti batu batu untuk menandakan kawasan tersebut dan bagi memerhatikan sama ada uri tersebut terusik / digali semula oleh haiwan liar ataupun tidak.
Jadi bagaimana? Mudah sahaja kan? Kongsi-kongsikan dan selamat beramal!