Surat Buat Ibu Yang Keguguran

“Saya dan suami saya baru sahaja dapat tahu akan kehadiran kandungan saya baru-baru ini. Usianya baru sahaja mencecah 5 minggu. Sejujurnya, kami tidak bersedia. Namun, kami teramat gembira! Kami terima dengan hati yang penuh terbuka dan merasakan sekiranya ini merupakan apa yang telah ditetapkan olehNya, kami bersyukur. Kami telah mengambil keputusan untuk berkongsi akan berita gembira ini dengan kedua-dua belah keluarga kami. Memandangkan ini merupakan cucu sulung buat mereka semua, mereka melompat penuh kegembiraan! Kami semua gembira! 

Namun kebahagiaan kami sekejap sahaja. Selepas seminggu kami mengumumkan akan kandungan ini, saya mengalami keguguran. Kami terpaksa memberitahu kedua-dua pihak keluarga akan kehilangan ini. Saya yang mengandungkan cahaya mata ini mula merasa hampir gila. Saya tercari-cari punca keguguran ini. Salah siapa? Saya cuba dan cuba namun tidak jumpa perkara dan orang yang perlu disalahkan melainkan diri sendiri. Di luar, saya dan suami kelihatan biasa dan kuat namun hakikatnya kami mengalami kesedihan dan kehilangan yang besar.
Orang sekeliling sentiasa menasihati saya bahawa segala yang berlaku bersebab. Namun, saya sering berfikir yang sebab perkara ini berlaku adalah saya sendiri. Saya tertanya-tanya, adakah sebab saya tak bersedia, takdir tarik balik kandungan ini? Terlampau sakit rasa ini, saya mahu rasa ini berhenti namun tidak boleh.
Bilakah saya boleh terima dan redha akan kehilangan ini? Adakah saya akan menghadapai kesukaran untuk mengandung selepas ini?”

___________________________________________________________________

Inilah apa yang hampir kesemua ibu rasakan dan alami sekiranya mengalami keguguran, tidak kiralah sama ada keguguran di awal kandungan ataupun sudah lewat kandungan. Rasa yang semua ibu rasakan, sama iaitu, kehilangan. Surat ini adalah untuk anda semua yang mengalami kehilangan. 

Pertama sekali, kami sejujurnya meminta maaf dan bersimpati akan kehilangan anda. Anda mungkin tertanya-tanya, sampai bila anda akan terima dan redha akan kehilangan ini? Penerimaan setiap individu berbeza. Anda boleh bersedih selama mana yang anda mahu namun masa akan bantu memulihkan rasa sedih itu. Rasa sedih yang sama tidak akan mendominasi kehidupan anda setiap masa. Saban tahun, anda mungkin akan sentiasa teringat akan tarikh kehilangan ini dan merasa sedih. Tetapi percayalah, di hujung kehilangan anda ini akan terselit rasa kesyukuran. Rasa bersyukur kerana kehilangan ini mengajar diri anda dan keluarga untuk menghargai satu sama lain. Anda juga mungkin akan kembali bersedih pada bila-bila masa. Biarkan diri anda bersedih. Tangisan adalah cara anda mengekspreskan rasa kehilangan itu. Anda bersedih atas kehilangan yang besar, jadi tidak mengapa.

Cabaran utama wanita yang keguguran adalah lakonan yang perlu anda lakonkan apabila berhadapan dengan orang sekeliling. Anda merasakan anda perlu tunjuk yang anda sudah menerima kehilangan itu dan anda okay dengannya. Tidak salah sekiranya anda mengambil sedikit masa bersama suami untuk merehatkan diri dan minda. Jauhkan diri sebentar dari orang sekeliling. Cari masa untuk saling berpaut menagih kekuatan. Amat penting untuk anda berdua bercakap akan perkara ini, namum sentiasa berhati-hati agar tidak menyalahkan sesama sendiri. Rasa marah akan timbul. Jangan risau, rasa marah dan rasa ingin menyalahkan sesuatu adalah satu proses kesedihan. Namun, begitu jua perasaan; Apa yang boleh aku lakukan untuk mengelakkan kehilangan ini? Anda mungkin akan murung dan rasa perit.

Kesemua perasaan ini adalah normal di dalam proses bersedih. Hargai semua perasaan itu dan jangan sesekali merasakan anda perlu menunjukkan yang anda okay dengan kehilangan ini kepada seluruh dunia. Tidak salah sekiranya anda jua berkongsi rasa sedih anda dengan mereka. Sekiranya ada yang berkata, “Terimalah dugaan ini dengan hati yang terbuka”, anda boleh membalas, “Saya memerlukan masa dan ruang untuk bersedih. Setiap insan mempunyai landasan masa yang berbeza untuk bersedih.” Segera tukar topik atau berlalu pergi sahaja. Anda tidak perlu rasa bersalah untuk merasa sedih di hadapan orang lain.

Seperti yang anda semua mungkin tahu, kebanyakan keguguran awal tidak dapat doktor berikan sebab yang satu sebagai punca keguguran itu. Kehilangan bayi anda bukan kesalahan anda, dan tiada apa pun yang anda boleh lakukan untuk mengelakkan kehilangan tersebut. Apabila ada yang bersuara, “Setiap perkara yang berlaku ada hikmahnya”, percayalah mereka hanya cuba membantu anda untuk menerima kehilangan ini. Jangan sesekali merasakan orang lain tidak faham perasaan anda. Boleh jadi mereka sudah merasa kehilangan yang lebih hebat, dan mereka sudah pun temui hikmah tersebut.

Sehebat mana pun ujian anda, ambillah masa untuk mengubati diri sendiri. Hanya masa yang akan membantu anda menerima kehilangan tersebut. Yang penting, kongsikan kesedihan itu dengan suami agar kekuatan yang dia ada, dapat dikongsikan dengan anda.

Salam sayang,
Tasneem Naturel.

Leave a Reply

Close Menu
×
×

Cart