Vaksin Pneumokokal – Apa Yang Ibu Ayah Perlu Tahu.

Penyakit pneumokokal adalah jangkitan yang disebabkan oleh bakteria yang dipanggil Streptococcus pneumoniae . Ia menjangkiti semua golongan umur tetapi lebih sering menjangkiti kanak-kanak dan warga tua. Bakteria ini boleh menyebabkan pelbagai jenis jangkitan termasuk jangkitan/radang paru-paru , meningitis (radang membran yang mengelilingi saraf tunjang atau otak) ,sepsis (jangkitan dalam darah) ,sinusitis (jangkitan pada sinus) dan otitis media (jangkitan telinga tengah).

Pada tahun 2008, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO ) menganggarkan bahawa daripada 8.8 juta kematian di seluruh dunia setiap tahun di kalangan kanak-kanak di bawah umur 5 tahun, 476 000 ( 333 000-529 000) kes adalah disebabkan oleh jangkitan pneumokokal. Kadar kematian dan penyakit paling tinggi dilaporkan di Afrika dan Asia.

Di Malaysia , penyakit pneumokokal adalah sangat kerap dan merupakan penyakit yang boleh dicegah melalui pelalian. Penyakit pneumokokal adalah serius dan boleh membawa maut , justeru itu, langkah-langkah pencegahan seperti pelalian adalah cara terbaik untuk mencegah penyakit pneumokokal. Malah pelalian merupakan baris pertahanan pertama menentang jangkitan. Vaksin boleh membantu melindungi daripada penyakit yang serius , komplikasi jangkitan disamping menyelamatkan nyawa.

Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly menjelaskan vaksinasi Pneumokokal dijangka bakal tersenarai dalam Program Imunisasi Kebangsaan (NIP) di bawah kerajaan baharu.

Menurut laporan Free Malaysia Today, Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya turut berkata pihaknya akan membawa cadangan itu kepada Bahagian Kesihatan Awam Kementerian Kesihatan. Jika kajian mendapati memang ada keperluan, KKM akan memasukkannya ke dalam NIP.

Menurut portal MyHealth, bakteria ini boleh menyebabkan pelbagai jenis jangkitan yang kritikal seperti:

  • jangkitan / radang paru-paru
  • meningitis (radang membran yang mengelilingi saraf tunjang atau otak)
  • sepsis (jangkitan dalam darah)
  • sinusitis (jangkitan pada sinus)
  • otitis media (jangkitan telinga tengah)

Walaubagaimanapun, vaksin Pneumokokal bukanlah sebahagian daripada jadual imunisasi rutin (Program Imunisasi Kebangsaan) Kementerian Kesihatan Malaysia dan perlu diambil secara berasingan dengan cas tertentu.


Kesan sampingan

Vaksin pneumokokal adalah selamat secara umumnya. Dalam keadaan tertentu, mungkin ada kesan sampingan yang mungkin berlaku bergantung kepada penerimaan tubuh seseorang.

Antara kesan sampingan yang biasa adalah:

  • sakit
  • merah dan bengkak pada tempat suntikan
  • demam gred rendah.

Kesan sampingan vaksin berkonjugat pneumokokal pula antaranya:

  • kurang selera makan
  • cepat marah
  • mengantuk
  • tidur yang tidak lena

Namun, sekiranya berlaku sebarang kesan sampingan serius seperti kesukaran bernafas, bengkak, radang, pengsan dan sebagainya, sila dapatkan bantuan perubatan dengan segera.

Setakat bulan Mac 2018, lebih 136 negara sudah memasukkan vaksin Pneumokokal ke dalam senarai Program Imunisasi Kebangsaan (NIP), manakala Malaysia adalah satu daripada 54 negara belum menyenaraikan vaksin PnD dalam jadual NIP.

Menurut laporan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya juga menasihati ibu bapa untuk memastikan setiap anak mereka menerima imunisasi lengkap bagi mengelak dan melindungi kanak-kanak daripada jangkitan sebarang penyakit yang boleh dicegah melalui vaksin.

“Orang ramai tidak perlu bimbang untuk memastikan anak-anak mereka menerima imunisasi kerana dapat mencegah kejadian penyakit berjangkit dan mencegah wabak yang serius malah semua vaksin yang diberikan oleh Kementerian Kesihatan adalah halal,” katanya.

Dr Dzulkefly  berkata, beliau telah meletakkan vaksin Pneumokokal ini sebagai ‘permintaan khas’ dalam belanjawan seterusnya, dengan peruntukan RM180 juta bagi kohort (kumpulan) kira-kira 500,000 setahun.

Diharapkan bajet ini dapat diluluskan dan lebih ramai kanak-kanak mendapat perlindungan serta manfaat kesihatan yang terbaik.

Leave a Reply

Close Menu
×
×

Cart