BENGKAK SUSU: Apa yang perlu ibu buat??

Untuk beberapa hari pertama selepas melahirkan, payudara ibu-ibu akan masih lembut dan mudah dihisap oleh bayi. Pada waktu ini, susu yang dihasilkan adalah susu kolustrum. Susu kolustrum adalah susu yang kaya dengan antibodi, dihasilkan dengan jumlah yang mencukupi untuk bayi anda. Tidak lama kemudian, payudara ibu akan mula berasa penuh, suam dan mungkin juga keras. Apabila perkara ini terjadi, ini merupakan tanda susu sedang banyak. Istilah saintifik untuk keadaan ini adalah ‘breast engorgement’. Perkara ini normal dan akan terjadi dalam masa beberapa hari. Ada yang akan alaminya dalam masa sehari dua, dan ada juga yang berpanjangan.


Ada sesetengah wanita yang akan mempunyai bekalan susu yang banyak seawal kelahiran. Mereka ini lebih mudah menghadapi bengkak susu yang lebih lama berbanding ibu-ibu yang lain. Bengkak susu akan surut apabila bayi sudah betul-betul pandai melekap dan menghisap dan kerap menghisap susu.


Tahukah anda, satu-satunya penawar yang paling mujarab bagi bengkak susu adalah anak anda sendiri? Sekiranya bayi anda tidak pandai melekap dengan betul atau pun jarang menghisap susu, payudara anda akan mudah membengkak. Apabila bengkak susu terjadi, payudara anda akan mula mengeras. Perkara ini akan menyebabkan bayi anda sukar melekap denan betul ketika menghisap susu. Bukan itu sahaja, puting payudara juga akan melecet dan pedih.


Apabila bayi anda tidak melekap dengan betul semasa menyusu, susu tidak dapat dikeluarkan betul-betul dan akan menyebabkan bengkak susu menjadi lebih teruk. Bengkak susu yang teruk akan menyebabkan payudara anda berasa sangat sakit dan kemerah-merahan. Ada juga ibu yang akan mengalami demam. Segera bejumpa dengan doktor untuk diperiksa ya. Wah! Dahsyat bukan kesan bengkak susu?

Tahukah anda, apabila ibu mula merasa sakit, bengkak susu yang serius boleh mengganggu pengeluaran susu. Takungan susu yang banyak di payudara yang bengkak akan menyebabkan badan memberi signal untuk mengurangkan penghasilan susu. Sekiranya tidak dirawat, bengkak susu yang lama boleh menyebabkan kekurangan susu badan dan lama-kelamaan menghentikan penghasilan susu badan.

Langkah Berjaga-jaga Daripada Terkena Bengkak Susu

  • Segera memberi susu badan sejurus sahaja bayi dilahirkan untuk melatih bayi melekap dengan betul sebelum payudara anda mula banyak menghasilkan susu.
  • Elakkan menggunakan botol susu dan puting semasa bayi sedang mula belajar menyusu badan, melainkan diarahkan oleh doktor.
  • Setelah susu mula banyak, susuakan bayi anda 2 jam sekali.
  • Minta bantuan pakar laktasi sekiranya anak anda mempunya masalah lekapan.
  • Sekiranya anak anda terlepas satu sesi menyusu, gunakan tangan atau pam untuk memerah keluar susu badan.
  • Untuk putus susu, putuskan perlahan-lahan. Jangan terus putus susu secara drastik.

Rawatan Bengkak Susu

  • Letakkan warm pad pada payudara beberapa minit (jangan melebihi 5 minit), ataupun mandi menggunakan mandian shower dengan air sederhana panas sebelum mula menyusukan badan. Ini dapat membantu melancarkan aliran susu.
  • Letakkan icepack dalam 10 minit selepas selesai menyusukan anak anda bagi mengurangkan bengkak.
  • Urut secara lembut dan tekan payudara ketika bayi berhenti seketika ketika menyusu. Ini boleh membantu payudara menjadi kosong.
  • Berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan ubat bagi mengurangkan rasa sakit dan bengkak.
  • Pakai bra mesra penyusuan yang betul-betul boleh memegang payudara. Ini dapat mengurangkan rasa sakit akibat bengkak.
  • Gunakan teknik marmet sekiranya bengkak susu masih ada walaupun sudah menyusukan anak anda.
  • Kosongkan payudara satu persatu dahulu. Sekiranya anak anda menghisap sekejap sahaja di satu payudara dan anda cepat-cepat tukarkan dia ke payudara lagi satu, badan akan segera hasilkan susu untuk memenuhi payudara yang ditinggalkan tadi.
  • Elakkan mengepam susu kerana pam diketahui tidak dapat membantu susu dikeluarkan ketika payudara bengkak dan akibatnya menyebabkan ia menerima rangsangan untuk menghasilkan lebih banyak susu dan akan menjadi lebih bengkak.
  • Sekiranya anda mengalami demam yang melebihi suhu 38°, segera berjumpa dengan doktor kerana dikhuatiri jangkitan kuman sedang berlaku.

Ibu-ibu ada ektra tips bagi merawat bengkak susu? Kongsikan dengan kami!

Leave a Reply

Close Menu
×
×

Cart