Hukum solat ketika sakit nak bersalin; Wajib atau tidak?

Buat ibu-ibu yang sudah bersalin ataupun bakal bersalin, peritnya sakit ketika hendak bersalin itu hanya Tuhan yang tahu. Mungkin ada ibu-ibu yang terlepas pandang akan isu solat kerana menyangkakan bahawa kewajipan untuk solat ketika sakit hendak bersalin itu sudah tidak wajib lagi bagi mereka. Jom kita baca sama-sama dan ingat perkara ini sampai bila-bila, SELAGI TIDAK MELAHIRKAN ANAK, IBU-IBU MASIH WAJIB MENUNAIKAN SOLAT!

Ada sesetengah ibu menyangkakan bahawa apabila sudah turun darah, mereka sudah tidak boleh solat. Untuk pengetahuan ibu-ibu semua, darah yang keluar sebelum anda melahirkan merupakan darah istihadah, ataupun darah fasad. Darah ini dikategorikan sebagai darah istihadhah ataupun darah fasad kerana ianya keluar sebelum melahirkan anak. Setelah anda melahirkan anak, darah yang keluar barulah dianggap sebagai darah nifas.

Selagi anda masih berupaya dan fasih membaca ayat al-Qur’an, maka anda masih berupaya untuk menunaikan solat.

Terlampau sakit, darah hampir memenuhi cadar dan tak larat nak bangun.

Apa yang perlu dilakukan sekiranya anda sememangnya betul-betul sakit hendak bersalin, darah hampir memenuhi cadar dan anda tidak larat untuk bangun? Inilah masanya anda perlu meminta bantuan suami, keluarga terdekat ataupun staf kesihatan yang ada. Cuba buang cadar yang memenuhi cadar, sekiranya anda tidak larat bangun untuk orang sekeliling anda tolong tukarkan cadar, tidak mengapa. Lebih baik solat di atas katil tanpa cadar, berbanding solat di atas cadar yang kotor. Minta tolong suami, keluarga ataupun staf kesihatan untuk membantu anda mengambil wudhu’. Ratakan air di bahagian wajib wudhu’ iaitu muka, tangan hingga siku, sebahagian kepala dan kaki. Sekali sahaja sudah memadai.

Allah itu Maha Mengasihani. Sekiranya anda tidak larat untuk solat secara berdiri, solatlah secara duduk. Sekiranya anda tidak larat untuk solat duduk, solatlah secara baring (mengiring di atas rusuk kanan). Jika anda tidak mampu baring mengiring, baringlah seperti biasa dan solat. Tutupkan aurat badan anda dengan menggunakan selimut dan tutup bahagian atas anggota badan seperti biasa. Ingatlah, Allah tidak membebani hamba-hambaNya kecuali apa yang termampu dilakukan. Ayat 286 dari surah al-Baqarah menjadi hujah keharusan tersebut,

لَا يُكَلِّفُ اللّٰهُ نَفْسًا اِلَّا وُسْعَهَا‌ؕ لَهَا مَا كَسَبَتْ وَعَلَيْهَا مَا اكْتَسَبَتْ‌ؕ
Maksudnya: Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Dia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya dan dia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya.

Langkah ringkas menunaikan solat ketika sakit bersalin.

  1. Tukarkan seluar dalam atau tuala wanita yang sedang dipakai.
  2. Pakai tuala wanita yang baru.
  3. Alihkan cadar yang kotor dengan darah. Jika masih larat untuk bangun, gantikan dengan cadar yang baru.
  4. Ambil wudhu’. Ratakan air di kawasan wajib berwudhu’ ; muka, tangan hingga siku, sebahagian kepala dan kaki. Sekali sahaja sudah memenuhi bilangan wajib berwudhu.
  5. Tutupkan badan dengan selimut dan bahagian rambut.
  6. Solat mengiring di atas rusuk kanan, jika masih larat. Jika tidak, solat baring seperti biasa sahaja.

Pastikan anda tidak bersendirian ketika melakukan perkara ini. Minta bantuan suami, mana-mana ahli keluarga ataupun staf perubatan yang ada. Sekiranya masih ada darah yang terkeluar ketika anda sedang solat, tidak mengapa. Ia nya dimaafkan dan masih dianggap sah.

Kongsikan artikel ini untuck manfaat semua! 

Leave a Reply

Close Menu
×
×

Cart