MITOS BERPANTANG SELEPAS BERSALIN & KEGUGURAN

Masyarakat kita sudah terbiasa dengan pantang larang yang diamalkan dari turun temurun lagi. Memang ada pantang yang betul seperti tidak boleh mengangkat benda yang berat, dan lain-lain lagi. Tetapi kebanyakan pantang larang tidak pun memberi manfaat kepada ibu-ibu malah membuatkan mereka berpantang dalam keadaan tidak selesa. Jom kita baca di bawah, pantang larang manakah yang merupakan mitos.

1. PAKAI BAJU TEBAL SUPAYA BADAN TAK MASUK ANGIN

Ini MITOS. Angin tidak boleh masuk badan melalui kulit. Tiada ruang di kulit yang boleh membuatkan angin menembusi masuk tidak kiralah sama ada anda tak pakai baju, anda baru lepas keguguran, anda baru lepas bersalin mahupun anda lelaki. Pakailah baju yang menyelesakan badan anda, yang tidak akan memudaratkan kesihatan anda

2. IKAT RAMBUT KETAT-KETAT UNTUK ELAK ANGIN MASUK KEPALA.

Ini MITOS. Kulit kepala juga tidak mempunyai ruang untuk angin masuk. Jika benar angin boleh masuk melalui kepala, bagaimana dengan wanita yang berambut pendek? Pasti kepala mereka sudah ‘berangin’ kan?

3. BERTUNGKU SELURUH BADAN SETIAP HARI.

Ini MITOS. Bertungku sebenarnya membantu diri kita untuk merasa lebih selesa semasa berpantang. Lebih ramai lagi wanita di luar sana yang langsung tidak pernah bertungku, mereka tetap sihat dengan izin dan kehendakNya.

4. MANDI HERBA SETIAP HARI

Ini MITOS. Kami percaya bauan daripada herba dapat membantu badan anda berasa lega. Tetapi tiada bukti penyelidikan mengatakan, wanita berpantang wajib mandi herba setiap hari untuk kesihatan mereka. Bergantung kepada anda ya.

5. TIDAK BOLEH DUDUK DALAM AIRCOND ATAUPUN DEKAT DENGAN KIPAS

Ini MITOS. Kesemua hospital menyediakan kipas dan penghawa dingin dalam hospital untuk keselesaan ibu mengandung dan ibu selepas bersalin. Ini penting untuk keselesaan ibu-ibu semasa berpantang. Ingat ya, tiada istilah angin masuk badan dari kipas ataupun penghawa dingin.

6. DILARANG MAKAN MAKANAN GATAL & BERANGIN

Ini MITOS. Jika anda tiada alahan, tak rasa gatal dan tiada masalah penghadaman, tak perlulah anda berpantang sayur-sayuran dan buah-buahan yang berkhasiat yang semestinya berkhasiat untuk bukan ibu sahaja, malah bayi yang baru dilahirkan.

7. TIDAK BOLEH MINUM AIR DENGAN BANYAK KERANA DIKHUATIRI AKAN BUNCIT.

Ini MITOS. Hakikatnya, ibu-ibu berpantang lebih banyak memerlukan air dalam badan untuk proses penyusuan dan untuk mengelakkan sembelit. Perut sememangnya akan buncit selepas bersalin dek kerana kesan mengandungkan anak selama hamper sepuluh bulan. Jadi, jangan mudah terpengaruh ya ibu-ibu semua

Berhenti memomokkan mereka dengan kesan jangka panjang jika tidak mengamalkan pantang-pantang tersebut. Apa yang membawa penyakit ialah obesiti, tekanan darah tinggi, diabetes, menyedut asap rokok, makanan berproses, makan berlebihan gula, makan berlebihan garam, makan berlebihan minyak, tidak makan cukup serat sayuran atau buah, tidak bersenam. Tumpukanlah perhatian anda kepada pengamalan gaya hidup sihat dan cergas untuk seumur hidup.

Petikan diolah dari penulisan Dr Imelda Balchin

Leave a Reply

Close Menu
×
×

Cart