Suami di bilik bersalin; Keperluan atau trend?

Pernahkah anda mendengar bapa anda bercerita tentang hari anda lahir? Bapa anda berkemungkinan akan menceritakan mengenai cuaca hari itu, suasana di hospital dan lain-lain lagi. Walau bagaimanapun, amat jarang sekali untuk mereka bercerita akan situasi dalam bilik bersalin. Tahukah anda, pada zaman dahulu kaum lelaki dilarang untuk berada di dalam bilik bersalin? Disebabkan oleh proses bersalin ini dialami oleh kaum wanita, lama-kelamaan sudah menjadi satu kepercayaan bahawa hanya wanita sahaja yang sesuai untuk menempuhi situasi bersalin itu. Golongan bapa pula akan tunggu, tertanya-tanya sambil melihat jam di kala si ibu bertarung untuk bersalin.

Semenjak tahun 2010, kebanyakan artis terkemuka di seluruh dunia sudah mula memperkenalkan trend ditemani suami semasa bersalin. Antara artis terkemuka yang mempengaruhi hampir seluruh dunia akan budaya ini adalah Kim Kardashian. Jadi mari kita bincangkan, sebenarnya menemani di bilik bersalin ini sememangnya keperluan ataupun trend?

Kebaikan ditemani suami di bilik bersalin

Tahukah anda, apabila seorang isteri ditemani suami di saat paling genting dalam hidupnya, beliau akan berasa sangat bahagia dan disayangi. Secara psikologinya, isteri amat memerlukan sokongan daripada seseorang yang dikenali di waktu genting tersebut. Sebagai persediaan bapa-bapa untuk menemani isteri semasa bersalin, anda bolehlah menghadiri kelas persediaan bersalin ataupun cuba bersembang dengan golongan bapa yang pernah menemani isteri di bilik bersalin.

Seawal waktu hendak bersalin, bapa-bapa bolehlah mengurut belakang badan isteri ataupun kaki isteri. Tugas anda pada waktu ini adalah untuk mengalihkan perhatian isteri daripada ternanti-nanti saat kontraksi. Cuba ajak isteri berjalan-jalan sambil bersembang. Pendek kata, antara manfaat suami menemani isteri semasa bersalin;

  1. Isteri akan merasa semangat dan dihargai sewaktu bersalin.
  2. Isteri akan bertambah yakin untuk menghadapi kontraksi dengan mudah dan lancar.
  3. Bapa boleh menyaksikan sendiri pengorbanan isteri semasa bersalin.
  4. Bapa boleh terus memegang bayi sejurus dilahirkan.
  5. Ianya satu momen yang indah apabila bapa dapat menyaksikan saat lahirnya anak ke dunia dan bapa boleh kongsikan pengalaman tersebut apabila anak sudah besar nanti.

Walau bagimanapun, terdapat satu kajian yang dilakukan di Amerika Syarikat menyatakan bahawa, sekiranya kedua-dua pasangan suami isteri tersebut tidak mempunyai hubungan intimasi yang rapat ataupun, sering bergaduh dan tidak serasi, kehadiran suami tersebut di dalam bilik bersalin akan menambahkan lagi tahap kesakitan yang dialami wanita tersebut. Bukan itu sahaja, ada juga para suami yang akan menjadi lebih agresif dan mungkin memarahi staf kesihatan apabila melihat isteri mereka sedang kesakitan. Sesetengah golongan suami juga telah memilih untuk tidak berada di dalam bilik bersalin kerana;

  1. Mempunyai fobia apabila melihat darah yang banyak
  2. Tidak sanggup melihat pasangan berada dalam kesakitan yang teruk.
  3. Tidak sanggup melihat proses bersalin itu sendiri.
  4. Mempunyai komitmen lain yang lebih penting seperti menjaga anak-anak lain dan lain-lain.
  5. Diminta sendiri oleh isteri agar tidak berada di dalam bilik bersalin. Ada sesetengah isteri merasakan mereka akan menjadi manja dan tidak kuat apabila suami di sisi.

Apa-apa pun, isteri boleh berbincang dengan suami terlebih dahulu ya. Sebaiknya isteri boleh terus memberitahu suami apa yang dia mahu suami lakukan semasa proses bersalin berlangsung. Ingat, suamilah yang bertanggungjawab menjadi wartawan yang akan sentiasa mengemaskini maklumat terbaru isteri kepada ahli keluarga juga. Jangan risau, kebanyakan hospital kerajaan juga sudah membenarkan suami memasuki bilik bersalin.

Jadi bagaimana pendapat anda semua? Perlu atau tidak? Atau budaya ini sekadar trend semasa? Kongsikan pendapat anda dengan kami!

Leave a Reply

Close Menu
×
×

Cart