SUKARNYA PROSES PENCERAIAN SUSU BADAN: 8 TIPS WEAN OFF / PUTUS SUSU BADAN

Tahniah buat ibu-ibu yang hampir berjaya menyusukan anak selama 2 tahun! Proses penceraian susu badan bukan sahaja bermaksud proses fizikal anak berhenti menyusu dengan ibu, penceraian susu juga bermaksud anak akan berhenti bergantung kepada ibu ketika dia takut, sedih dan juga gembira melalui penyusuan badan. Berikut kami kongsikan 8 tips penceraian susu badan / wean off sebagai panduan semua.

1. MULA BERITAHU KEPADA ANAK AWAL-AWAL.

Sekurang-kurangnya, seminggu sebelum hari bercerai susu badan, ibu perlulah kerap memberitahu kepada anak bahawa dia perlu berhenti menyusu. Ceritakan kepada dia mengapa dia perlu berhenti menyusu. Sebagai contoh, “Abang, abang dah besar. Abang kena berhenti menyusu tau. Apa-apa pun jadi, ibu tetap sayang abang dan akan sentiasa dengan abang.” Ulangkan ayat yang sama setiap hari supaya anak bersedia secara fizikal dan mental apabila hari bercerai susu badan tiba.

2. MULA PERKENALKAN SUSU FULL CREAM / FRESH MILK KEPADA ANAK.

Apabila umur anak sudah mula menginjak setahun, susu full cream dan fresh milk sudah boleh mula diperkenalkan kepada mereka. Jadi, susu full cream atau fresh ? Sebaiknya, susu full cream. Susu full cream mempunyai lebih banyak khasiat dan vitamin berbanding fresh milk. Susu full cream tinggi dengan lemak, protein, karbohidrat dan vitamin lengkap untuk keperluan bayi. Susu fresh juga mempunyai kandungan yang sama cuma kekurangan vitamin A dan D3. Jadi jangan risau jika anda sudah perkenalkan fresh milk dahulu. Dua-dua berkhasiat untuk anak anda.

3. AJAK ANAK BELI SIPPY CUP / BOTOL AIR / CAWAN

Ajak anak anda beli dan biarkan dia pilih sendiri sippy cup / botol / cawan kegemarannya. Sekiranya anak terbangun tengah malam minta susu, mahupun waktu siang, isikan air kosong ataupun susu full cream/fresh ke dalam sippy cup / botol / cawan pilihannya itu.

4. JANGAN OFFER.

Ibu sering offer susu badan kepada anak apabila anak menangis mahupun terkejut sebagai cara menenangkan anak. Jadi, ibu-ibu kena bersedia juga supaya tidak tersilap langkah. Sekiranya anak menangis, mahupun terkejut, cuba tenangkan dia dengan memeluknya dan alihkan perhatiannya sebaik mungkin. Jangan sesekali offer susu badan kerana anak juga mungkin akan keliru sama ada dia perlu berhenti menyusu ataupun tidak.

5. PILIH HARI YANG ANDA TIDAK SIBUK / CUTI (IBU BEKERJA) SEBAGAI HARI PERTAMA CERAI SUSU

Pilihlah hari yang paling anda tidak sibuk sebagai hari pertama bercerai susu, ataupun hari cuti bagi ibu yang bekerja. Penting untuk anda pilih hari yang free dan available agar anda dapat berikan perhatian dan fokus sepenuhnya kepada proses penceraian susu badan. Ingat, bukan anak anda sahaja yang terkesan emosinya tetapi anda juga. Ada juga yang mencadangkan agar memilih hari anda balik kampung supaya perhatian anak lebih mudah teralih apabila dikelilingi ramai kawan.

6. ALIHKAN PERHATIAN ANAK APABILA DIA MULA MEMINTA SUSU

Sekiranya anak anda sudah mula meminta susu badan, segera alihkan perhatiannya dengan keadaan sekeliling. Contohnya televisyen, mainan kegemarannya dan lain-lain. Pada masa yang sama, hulurkan kepadanya sippy cup / botol / cawan berisi air kosong atau pun susu full cream/fresh. Sekiranya anak anda mula menangis, cuba tenangkannya sambil terangkan mengapa dia tidak boleh menyusu badan. Anda juga boleh meminta pertolongan suami sebagai pengganti anda.

7. PASTIKAN ANAK KENYANG

Kerap berikan anak anda snek ringan untuk mengenyangkannya. Anda boleh berikan buah-buahan, biskut ataupun roti kepada anak anda. Jika perut anak anda kenyang, kemungkinan untuk anak anda minta susu badan berkurangan. Jangan lupa berikan air kosong kepadanya juga.

8. TIPS EKSTRA UNTUK IBU MENGEPAM

Ibu-ibu yang mengepam susu, sebagai persediaan, anda boleh mula mengurangkan sesi mengepam sedikit demi sedikit. Jika selalunya anda pam 4 kali sehari, kurangkan kepada 3 kali sehari. Kemudian turunkan kepada 2 kali sehari. Proses ini penting agar payudara anda bersedia dan tidak mengalami bengkak susu yang teruk.

Jadi ibu-ibu, anda sudah bersedia? Apa-apa pun, usaha, tawakal dan berdoa okay! Kami harap, tips-tips ini boleh membantu ibu-ibu semua putus susu badan dengan jayanya!

Leave a Reply

Close Menu
×
×

Cart