Anak menangis dan mengamuk dalam tidur. Nightmares atau night terror? Apa dan bagaimana?

Anak menangis dan mengamuk dalam tidur. Nightmares atau night terror? Apa dan bagaimana?

Salah satu perkara paling sukar menjadi ibubapa ialah bila meihat anak terjaga, menangis dan menjerit ditengah-tengah malam. Tambah sukar bila kita tidak tahu bagaimana mahu ber reaksi dan membantu anak pada ketika ini. Sebenarnya, pengetahuan tentang mimpi ngeri (nightmares) dan gangguan tidur (night terror) boleh membantu…sekurang-kurangnya untuk membuat ibu lebih tenang kerana jelas dengan apa yang sedang berlaku.

MIMPI NGERI (nightmares)

Ialah mimpi yang sangat menakutkan. Semua orang pernah mengalami mimpi buruk dan ngeri. Namun, individu yang mengalami tekanan emosi atau melalui hari yang sukar lebih mudah mengalami mimpi ngeri di malam hari.

Antara perkara yang menyumbang kepada hal ini ialah anak melihat atau mendengar sesuatu yang membuat mereka resah dan takut. Ia boleh jadi sesuatu yang benar-benar telah terjadi kepada mereka atau sesuatu yang mereka tanam dalam kepala (percaya ada/wujud/terjadi).

Bila ‘nightmares’ mula terjadi?

Saintis tidak begitu pasti umur bermulanya anak mengalami ‘nightmares’ ini. Tapi, anak berusia setahun memang sudah boleh mengalami ‘nightmares’. Ada juga kemungkinan anak yang lebih kecil boleh mengalami ‘nightmares’ kerana bayi kecil menghabiskan sebahagian besar tidurnya dalam fasa REM (rapid eye movement),iaitu fasa di mana mimpi terjadi, namun sukar untuk kita mengagak berapa kompleksnya mimpi mereka.

Menjelang usia 2 tahun, bila imaginasi anak lebih nyata, ‘nightmares’ boleh menjadi sangat spesifik. Namun, walaupun menjelang usia ini anak mula faham bahawa ‘nightmares’ adalah mimpi, mereka mungkin tak sepenuhnya faham bahawa mimpi telah berakhir setelah bangun tidur dan untuk itu, mereka masih kekal takut. Selalunya, anak boleh mengingati butiran mimpi setelah bangun tidur.

Lebih besar usia anak, lebih baik pemahaman anak mengenai ‘nightmares’. Ia masih menakutkan mereka namun mereka mungkin tak lagi perlukan banyak bantuan ibubapa untuk menghadapinya.

GANGGUAN TIDUR (night terror)

Adalah keadaan separa berjaga diantara fasa tidur (peralihan kitaran). Bermula usia 4 bulan, corak tidur bayi menuju ke arah tidur orang dewasa, iaitu bayi masuk tidur nyenyak (deep sleep) dahulu sebelum beralih ke fasa tidur ringan (light sleep). Satu kitaran lengkap tidur manusia mengandungi fasa tidur ringan dan fasa tidur nyenyak yang mengambil masa kira-kira 60-90 minit. Sesudah kitaran pertama ini, amat normal untuk kita berjaga separa dan melakukan perkara-perkara seperti menepuk bantal, menarik selimut atau membetulkan posisi tidur sebelum kembali lena untuk beralih ke kitaran kedua.

Untuk anak kecil, mereka selalunya berdengus, merengek, ‘membebel’ atau bergerak-gerak sebelum kembali lena. Maksudnya, membuat pelbagai bunyi dan bergerak-gerak itu sifat tidur normal manusia. Namun, adakalanya, fasa peralihan separa berjaga ini tak lancar dan tak begitu cepat hingga membuat sebahagian anak kecil bagai ‘terjaga’ dan menangis. Anak yang lebih besar dan orang dewasa pula mungkin akan mula bercakap-cakap (sleep talking) pada ketika ini. Bagaimana pula peralihan boleh jadi tak lancar?.

Ok, apa yang terjadi ialah semasa fasa peralihan ini, sebahagian otak cuba untuk tidur semula manakala sebahagian lagi cuba untuk bangun dan kedua-duanya berebut untuk menang.Senang cakap, otak sedang keliru. Contoh-contoh anak mula ‘terjaga’, menangis sambil pejam mata dan bercakap dalam tidur yang diberikan tadi adalah contoh-contoh kekeliruan ringan.Jika kekeliruan itu lebih besar, anak mungkin akan mula bangun dan berjalan dalam tidur (sleep walking), menjerit, memukul, meracau dan sebagainya. Ya, mata anak mungkin terbuka, tapi dia sebenarnya masih tidur. Ia menjelaskan kenapa anak kelihatan keliru, takut, merenung kosong, menolak orang yang cuba memeluk atau mententeramkan dan tak membalas bila ditegur…sebab mereka masih tidur!

Ramai orang ingat anak sedang bermimpi namun sebenarnya tidak. Ini lah sebabnya individu yang mengalami ‘night terror’ tak ingat pun apa yang telah berlaku kerana ‘night terror’ itu cuma gangguan tidur akibat otak keliru membuat peralihan fasa tidur, dan bukannya mimpi seperti dalam kejadian ‘nightmares’.Kekeliruan dan gangguan tidur boleh berlangsung dari beberapa minit hingga 30/40 minit.

APA NAK BUAT?

Kerana ‘nightmares’ dan ‘night terror’ ini 2 hal yang berbeza, maka respon ibubapa juga harus berbeza. Mari kita buat ulangan ringkas;

‘Nightmares’

  • Anak akan terjaga ,terkejut,kelihatan ketakutan dan sangat mengingati apa yang dimimpikan.
  • Terjadi pada 2/3 malam selepas anak masuk tidur kerana fasa REM (tidur ringan) dimana mimpi terjadi hanya bermula selepas kitaran pertama tidur iaitu NREM( tidur nyenyak) berakhir.
  • Otak anak begitu aktif seperti ketika berjaga namun pada fasa ini (REM/tidur ringan), otot-otot ‘dilumpuhkan’ iaitu sel otak yang mengawal pergerakan dimatikan seketika oleh hormon tertentu dipercayai untuk mengelakkan kecederaan ketika otak giat memainkan mimpi. Maka, anak tidak akan bangun, berjalan dan memukul. Mimpi anak boleh diputuskan oleh ibubapa yang mengejut anak bangun ketika ‘nightmares’ berlangsung.Anak sukar untuk sambung tidur semula kerana masih takut jadi selalunya perlu dibantu untuk tidur dan ditenangkan.
  •  Cari punca apa yang menganggu fikiran dan emosi anak. Jika ia melibatkan perkara traumatic yang telah terjadi, anak mungkin perlukan kaunseling. Elakkan anak dari menonton atau melihat perkara-perkara yang menakutkan. Berikan anak alat bantu tidur yang mampu mententeramkannya seperti patung atau selimut kegemaran atau lampu yang memancar bentuk indah seperti bintang ke atas siling bilik. Mengamalkan rutin tidur yang konsisten juga mampu membuat anak tenang dan ‘selesai’ emosinya untuk acara tidur. (rujuk artikel saya berkaitan rutin tidur untuk pemahaman).

‘Night terror’

  • Anak tidak langsung terjaga dari tidur (walau matanya mungkin terbeliak, berjalan, bercakap, meracau dan lain-lain) dan kerana itu bukan mimpi, anak memang tak akan ingat jika dia mengalami ‘night terror’ pun.
  • Terjadi pada 1/3 malam iaitu tak lama setelah anak masuk tidur kerana ia terjadi ketika fasa tidur NREM iaitu fasa tidur yang mula-mula.
  • Aktiviti otak tak aktif tetapi otot-otot pergerakkan tidak ‘dilumpuhkan’ pada fasa ini. Ia menjelaskan mengapa anak boleh bangun, berdiri, berjalan dan sebagainya dalam tidur.Oleh kerana anak memang masih tidur ketika ia terjadi, ibubapa tidak akan boleh menghentikan ‘night terror’ ketika ia sedang berlaku dan tidak boleh membantu menenangkan. Walau ia sukar, selalunya kita hanya mampu melihat anak melaluinya dan menunggu hingga ia berakhir. Paling kurang, ibubapa boleh mengalihkan benda-benda tajam atau merbahaya disekeliling anak ketika ‘night terror’ berlaku atau mengalihkan arah gerakan anak dari menuju ke laluan berbahaya seperti menurun tangga untuk masuk ke bilik lain yang lebih selamat.
  • Selepas ‘night terror’ berakhir, boleh cuba kejutkan anak dan tahan sedikit anak dari tidur kembali dengan begitu cepat. Jika anak tidur semula dengan begitu cepat, ada kemungkinan tinggi anak mengalami episod ‘night terror’ kedua pada malam yang sama.Jika ‘night terror’ anak kerap hingga boleh terjangkakan, cuba kejut anak beberapa minit sebelum ‘night terror’ selalu berlangsung untuk menganggu kejadian dari berlangsung.

Tip tambahan: Ibu ayah boleh cuba pakaikan balm Sleep Time daripada Tasneem Naturel. Balm ini sesuai untuk membantu anak anda supaya mudah lena dan bangun dalam keadaan mood ceria. Boleh dapatkan di Shopee atau hubungi agen sah kmi.

Sumber

Leave a Reply

Close Menu
×
×

Cart