9 TANDA-TANDA BERSALIN YANG PATUT ANDA TAHU!

Menimang cahaya mata adalah satu penantian yang dinanti-nanti dan sangat mendebarkan! Tidak kiralah sama ada anak pertama atau pun tidak, setiap ibu pasti akan keliru akan tanda-tanda bersalin kerana setiap perjalanan bersalin itu berbeza. Mesti anda tertanya-tanya, macam mana sakit bersalin? Berapa lama proses bersalin? Macam mana nak bezakan sakit bersalin yang betul atau pun sekadar Brixton Hicks?  Yang pasti, tiada jawapan yang tepat kerana setiap proses bersalin setiap orang berbeza. Apa yang perlu anda tahu adalah apa itu bersalin dan tanda-tanda bersalin.

Bersalin adalah proses melahirkan anak, bermula dengan kontraksi di bahagian uterus dan berakhir dengan kelahiran bayi. Seperti kebanyakan ibu-ibu mengandung yang lain, anda pasti tertanya-tanya yang mana sebenarnya tanda-tanda bersalin yang sebenar. Jom kita semak di bawah.

SEBULAN HINGGA SATU JAM HINGGA BERSALIN

1. Perut Anda ‘Jatuh’ atau ‘Menurun’ .

Jika ini merupakan pengalaman pertama anda, kedudukan bayi anda akan kelihatan ‘jatuh’ ataupun dalam bahasa sainsnya, bayi akan mula memasuki ruang pelvik anda sekitar 2 hingga 4 minggu sebelum bersalin. Manakala bagi ibu yang bakal melahirkan anak kedua ataupun seterusnya, keadaan bayi ‘menurun’ ini akan terjadi apabila anda betul-betul akan bersalin.

FASA BERSALIN

2. Serviks anda mula membuka

Serviks anda juga akan mula bersedia untuk proses bersalin. Ia akan mula buka (dilate) dan menipis (thin out) dalam tempoh beberapa hari hingga minggu sebelum bersalin. Jururawat ataupun doktor juga sudah mula memeriksa bukaan anda pada minggu-minggu terakhir sebelum bersalin. Tetapi perlu anda ingat, setiap orang berbeza. Jadi jangan rasa stress sekiranya serviks anda masih belum membuka.

3. Kekejangan lebih kerap berlaku & sakit belakang semakin kuat.

Anda akan mengalami lebih kerap kekejangan dan sakit belakang yang teramat, lebih-lebih lagi buat ibu-ibu yang sedang mengandungkan BUKAN anak pertama. Ini merupakan tanda otot-otot anda sedang bersedia untuk bersalin.

4. Anda mengalami cirit-birit.

Semasa otot-otot di dalam uterus anda sedang bersedia untuk bersalin, otot-otot bahagian badan yang lain pun sama, termasuklah rektum anda! Itulah salah satu penyebab mengapa anda mengalami cirit-birit di akhir trimester. Walaupun ia menjengkelkan, jangan risau, itu adalah normal. Yang penting, banyakkan minum air untuk menggantikan air yang hilang!

5. Berat badan anda statik ataupun semakin berkurang.

Apabila anda sudah menghampiri proses bersalin, berat badan anda selalunya akan mula statik. Ada juga ibu-ibu yang makin berkurang berat badannya! Ini juga merupakan tanda yang normal dan tidak akan mempengaruhi berat badan bayi anda. Bayi anda tetap akan bertambah berat badannya, cuma anda sahaja yang akan kekurangan berat badan kerana air ketuban akan semakin berkurangan dan juga anda akan lebih kerap terkucil.

6. Rasa keletihan yang melampau & keinginan untuk berehat sepanjang masa.

Jangan keliru! Tanda-tanda bersalin ini seakan sama dengan simptom semasa awal trimester anda. Dengan perut anda yang sedang memboyot, pundi kencing yang semakin terhimpit, anda akan mengalami kesukaran untuk tidur malam. Tindihkan bantal banyak-banyak dan dapatkan tidur sekerap mungkin pada waktu siang! Walau bagaimanapun, ada juga ibu-ibu yang semakin bertambah aktif di hujung trimester ini. Anda akan menjadi bertambah rajin dan sentiasa ingin mengemas. Tidak mengapa ibu, yang penting anda tidak melakukannya secara berlebihan!

BEBERAPA HARI HINGGA BEBERAPA JAM SEBELUM BERSALIN

7. Anda akan mula menghasilkan ketulan mukus & cairan vagina mula bertukar warna.

Anda mungkin perasan mukus yang terhasil berketul. Ia boleh keluar dalam satu ketulan yang besar ataupun ketulan kecil-kecil. Anda mungkin juga tidak perasan akan perkara ini dan ada juga ibu-ibu mengandung tidak mengalami perkara ini. Pada jam-jam terakhir sebelum bersalin, mukus yang terhasil akan lebih banyak, pekat dan bertukar warna. Cairan mukus yang tebal dan berwarna pink ini juga dikenali sebagai ‘blood show’ , merupakan satu tanda yang baik yang menunjukkan proses bersalin sedang berlangsung dengan baik. Boleh jadi juga bukaan sudah buka sehingga 3-4 cm. Jika masih tiada bukaan, tarikh bersalin boleh jadi lagi beberapa hari yang akan datang

8. Mula terasa kontraksi yang lebih kuat dan kerap.

Kontraksi merupakan tanda utama menunjukkan anda bakal bersalin – melainkan ianya adalah Brixton Hicks. Anda boleh mengalami Brixton Hicks seawal beberapa minggu atau bulan sebelum kelahiran.  Bagaimana mahu tahu sama ada ia adalah kontraksi yang sebenar? Tengok pada tanda-tanda berikut:

  • Jika anda semakin aktif, kontraksi semakin bertambah kuat.
  • Jika anda ubah posisi badan, kontraksi masih ada.

Kontraksi akan menjadi semakin kerap dan kuat dan membentuk 1 pattern. Setiap satu kontraksi tidak semestinya lebih kuat berbanding kontraksi sebelumnya, tetapi ia akan semakin sakit dan semakin dekat jaraknya. Sakit kontraksi yang sebenar seakan-akan sakit kekejangan perut yang melampau seperti menstruasi, di bahagian perut , tulang belakang dan abdomen.

9. Air ketuban pecah

Jangan fikir anda akan mengalami situasi air ketuban pecah sama seperti dalam filem yang anda tonton, air ketuban juga boleh mengalir tanpa anda sedari. Dan, ada juga yang tidak akan pecah air ketuban dan terpaksa dipecahkan oleh doktor. Jika boleh, pastikan anda alert akan perkara ini.

Masih rasa anda tidak pasti akan tanda-tanda bersalin? Jangan risau. Di minggu-minggu terakhir kehamilan, anda akan kerap berjumpa dengan jururawat dan doktor. Mereka akan membantu anda dengan menerangkan lebih terperinci mengenai tanda-tanda bersalin yang akan anda alami.

Selamat bersalin ibu-ibu semua!

Leave a Reply

Close Menu
×
×

Cart