Apa itu Autism & Ciri-ciri anak Autism

Autism, atau autism spectrum disorder (ASD), merujuk kepada satu keabnormalan yang boleh mempunyai ciri-ciri yang pelbagai dan berbeza. Selalunya individu autistik akan mempunyai kesukaran dalam berkomunikasi, sering melakukan benda yang sama berulang kali, masalah dalam bercakap dan juga sukar untuk mempamerkan bahasa badan.

Autism ini mempunyai pelbagai jenis tahap, tetapi kebanyakannya dipengaruhi oleh kombinasi faktor genetik dan persekitaran. Cara pemikiran autistik dalam pembelajaran, pemikiran dan penyelesaian masalah berbeza dari tahap paling sukar dan mudah sahaja dilakukan. Sesetengah penghidap autism memerlukan sokongan padu dalam kehidupan seharian mereka, sesetengah hanya memerlukan sedikit sokongan dan ada yang langsung tidak memerlukan sokongan sepanjang hidup mereka.  

Ada beberapa faktor yang boleh mempengaruhi perkembangan autism itu sendiri dan selalunya ia akan diikuti dengan kesensitifan pancaindera dan masalah kesihatan seperti sawan, sukar tidur, dan juga masalah mental seperti kebimbangan, kemurungan dan masalah menumpukan perhatian.

Tanda-tanda anak anda menghidapi autism selalunya paling ketara dapat dikesan pada umur sekitar 2 atau 3 tahun. Ada juga kes di mana autism dapat dikenalpasti pada umur yang lebih awal, kebiasaannya pada umur 18 bulan. Penyelidikan menunjukkan bahawa sekiranya autism dapat dikenalpasti awal, langkah penjagaan dapat dipraktikkan awal dan dapat membantu anak anda untuk menjalani kehidupan sehariannya dengan lebih mudah.

Salah satu perkara penting yang anda boleh lakukan sebagai ibu bapa adalah dengan belajar mengenali tanda-tanda awal autism dan biasakan diri dengan perkembangan yang patut anak anda kecapi pada setiap peringkat umur.

Tanda-tanda Autism

Masa dan tahap simptom-simptom awal autism sangat berbeza. Ada sesetengah bayi yang menunjukkan simptom-simptom autism pada beberapa bulan pertama dan ada juga yang hanya dapat dikesan setelah mereka berusia 2 atau 3 tahun.

Tidak semua kanak-kanak autism menunjukkan semua tanda-tanda autism pada diri mereka kerana sesetengah tanda autism juga boleh dilihat pada kanak-kanak yang tidak menghidapi autism. Sebab itu, penting untuk mendapatkan penilaian daripada yang pakar.

Berikut merupakan tanda-tanda anak anda berisiko untuk menghadapi risiko autism. Jika anak anda menunjukkan mana-mana tanda di bawah, berjumpalah dengan doktor kanak-kanak untuk mendapatkan penilaian yang betul dan tepat;

Pada usia 6 bulan

  • Sukar senyum atau langsung tidak senyum, tidak ceria dan tidak menunjukkan sebarang reaksi apabila anda berkomunikasi dengan mereka.
  • Pandangan mata ke mata yang sangat jarang ataupun langsung tidak pandang ke mata anda.

Pada usia 9 bulan

  • Sangat jarang ataupun langsung tidak mengeluarkan suara, senyuman atau sebarang mimik muka.

Pada usia 1 tahun

  • Sedikit atau tidak langsung babbling
  • Jarang atau tidak langsung menunjukkan pergerakan tangan seperti menunjukkan sesuatu, mencapai sesuatu benda ataupun melambai.
  • Jarang ataupun langsung tidak memberikan respon apabila dipanggil.

Pada usia 1 tahun 6 bulan

  • Sangat jarang atau langsung tidak bercakap.

Pada usia 2 tahun

  • Sedikit atau tidak langsung menuturkan 2 patah perkataan yang difahami. (Ini tidak termasuk meniru atau mengulang perkataan)

Pada sebarang peringkat umur

  • Kehilangan kemahiran untuk babbling, bercakap dan juga bersosial.
  • Lebih suka menyendirikan diri.
  • Sukar untuk memahami perasaan orang lain.
  • Lambat dalam perkembangan bercakap.
  • Kerap mengulang-ulang perkataan dan ayat yang sama.
  • Memberontak sekiranya ada perubahan kepada keadaan sekeliling ataupun rutin.
  • Berminat kepada sedikit benda sahaja. Selalunya kanak-kanak lain akan suka kepada dinosaur, kereta, patung, bola dan pelbagai lagi. Tetapi tidak pada kanak-kanak autistik, mereka cendurung untuk meminati satu atau dua benda sahaja pada satu masa.
  • Melakukan sesuatu perbuatan secara berulang-ulang contohnya seperti tepuk tangan, melompat, berpusing-pusing dan pelbagai lagi.
  • Tidak menunjukkan minat ataupun reaksi kepada bunyi, bauan, rasa, tekstur, warna ataupun lampu.
  • Tidak suka bunyi bising ataupun lampu yang terang.
  • Kadangkala tidak mengenali ahli keluarga sendiri.
  • Sukar memahami arahan yang diberikan oleh sesiapa.

Sekiranya anda bimbang anak anda menghidapi autism, segera bawa anak anda berjumpa dengan pakar kanak-kanak. Lebih baik jika anda lebih peka dan terus bawa berjumpa doktor secepat mungkin untuk memastikan bahawa anak anda menghidapi autism ataupun tidak, berbanding menidakkan anak anda mungkin menghidapi autism.

Semoga bermanfaat!

Leave a Reply

Close Menu
×
×

Cart