TIPS MEMILIH PENGASUH / PENJAGA / BABYSITTER ANAK ANDA

Bagi kebanyakan ibubapa, memilih pengasuh adalah perkara yang amat sukar. Semua sedia maklum, andalah penjaga terbaik anak anda namun sedihnya, anda tidak dapat bersama dengan anak –anak anda 24 jam sehari dek tuntutan kerja hakiki. Dengan tambahan kebanyakan kes penderaan bayi dan kanak-kanak oleh pengasuh, mengupah pengasuh yang anda betul-betul percaya adalah langkah terbaik. Pengasuh yang terbaik adalah pengasuh yang menggantikan tugas anda sebagai ibu bapa. Pengasuh yang baik adalah pengasuh yang akan mengelap airmata anak anda semasa mereka menangis, meleraikan pergaduhan, dan mungkin membuat biskut kegemaran anak anda.

Berikut kami kongsikan beberapa tips yang boleh digunapakai semasa pencarian pengasuh anak anda.

Rujukan Pihak Yang Diiktiraf/Dipercayai

Rujukan dan pengesahan latarbelakang adalah perkara yang paling penting untuk anda lihat sebelum mengupah seseorang untuk menjaga anak anda. Sesetengah pengasuh mempunyai laman web mereka sendiri dan walaupun mereka tiada laman web, anda masih boleh melakukan pemeriksaan latarbelakang mereka. Selalu ajukan soalan untuk calon pengasuh anak anda; Adakah mereka mempunyai anak yang perlu dijaga juga? Jika ya, berapa ramai dan umur mereka? Adakah mereka mampu untuk menjaga lagi anak orang lain? Kesimpulannya, anda dan calon pengasuh anda perlu sedia maklum akan keadaan dan situasi masing-masing agar semua urusan berjalan lancer.

Tanya Soalan Yang Spesifik

Sentiasa senaraikan soalan-soalan yang anda ingin tahu mengenai pengasuh anak anda. Contoh yang kami berjaya kumpulkan adalah;

  1. Adakah anda mempunyai lesen memandu?
  2. Tahukah anda cara pengendalian susu ibu?
  3. Adakah anda tahu mengenai pengetahuan asas perubatan (apa yang perlu dilakukan sekiranya budak tercekik, sawan) / CPR dan lain-lain?
  4. Bolehkah anda memasak untuk anak saya sekiranya ibubapa tidak dapat membekalkan makanan?
  5. Adakah anda mempunyai rekod masalah mental?
  6. Berapa lama pengalaman bekerja sebagai pengasuh?
  7. Adakah boleh menjaga anak sekiranya ibubapa terpaksa outstation?

Cuba Cari Pengasuh Yang Berkemahiran

Setiap anak mempunyai kelebihan dan kelemahan masing-masing. Sesekali cuba cari pengasuh yang berkemampuan mengasah lagi kelebihan anak-anak anda.Atau cuba cari pengasuh yang boleh membantu kelemahan anak anda. Sebagai contoh, anak anda suka akan subjek Matematik, maka anda memilih pengasuh yang minat Matematik juga. Begitu jua untuk hal yang sebaliknya.

Cari Pengasuh Yang Mempunyai Kesefahaman & Prinsip Keibubapaan Yang Sama dengan Anda.

Cuba tanya beberapa soalan kepada calon pengasuh anak anda untuk mengetahui adakah mereka mempunyai prinsip keibubapaan yang sama dengan anda. Sebagai contoh,

  • Apa yang anda akan lakukan sekiranya anak anda sedang mengamuk, ataupun β€˜tantrum’?
  • Bagaimana cara anda mendisipilinkan kanak-kanak?
  • Apakah yang anda lakukan untuk menenangkan kanak-kanak?
  • Apakah perasaan anda apabila kanak-kanak menangis?
  • Apakah saat yang paling sukar pernah anda alami sepanjang mengasuh, dan bagaimana anda kendalikannya?

Jawapan-jawapan kepada soalan ini mungkin sedikit sebanyak boleh membantu anda memilih pengasuh yang sesuai untuk anak anda.

Cuba Tanya Pada Jiran-jiran Mengenai Pengasuh Anda

Sekiranya pengasuh anda mempunyai jiran, anda boleh cuba untuk bertanya kepada mereka mengenai calon pengasuh anda. Anda boleh melakukan perkara ini tanpa pengetahun calon pengasuh anda. Anda boleh bertanyakan rutin harian mereka, ataupun keharmonian kehidupan pengasuh anda. Anda pasti tahu jiran anda yang manakah anaknya menangis hampir setiap masa, bukan? Melainkan anak mereka mempunyai sebab-sebab tertentu untuk berkelakuan sedemikian.

Minta Untuk Tempoh Percubaan

Anda mungkin merasakan anda sudah menemui pengasuh yang bersesuaian dengan anak anda namun anda tidak akan tahu sehinggalah anak anda dihantar kepada mereka dan dipersetujui mereka. Seorang pengasuh yang baik pasti tidak kisah sekiranya anda meminta untuk mengadakan tempoh percubaan. Tidak perlu lama pun untuk percubaan. Cuma tinggalkan anak anda sehari sahaja dengan mereka dan lihat apa reaksi anak anda. Sekiranya mereka serasi dengan pengasuh tersebut, anda bertuah!

Percaya Kepada Naluri Anda

Anda mungkin sudah pun jumpa calon pengasuh yang sempurna dengan pengalaman yang lama, tahap pendidikan yang memuaskan dan lain-lain lagi. Tetapi, sekiranya naluri anda merasakan ianya adalah pilihan yang kurang tepat, jangan sesekali menidakkan naluri anda. Hanya anda seorang sahaja yang tahu pengasuh mana yang bersesuaian dengan anak anda.  Cuba double triple pastikan sama ada pengasuh tersebut betul-betul bersesuaian dengan anak anda. Jika tidak, anda boleh sahaja terus cari pengasuh lain yang bersesuaian.

Adakah anda mempunyai tips tambahan? Kongsikan dengan kami di ruangan komen bagi membantu ibubapa di luar sana!

This Post Has 2 Comments

  1. Kami dulu… Suami isteri buat istikharah untuk pilih pengasuh. Masa dalam pantang, ada saudara offer nak jagakan anak. Alhamdulillah, kami cuba hantar anak masa tu baru umur 2 bulan. Anak senyum bila dengar suara ibu tu. Masya Allah. Memang alhamdulillah pengasuh sangat baik. Sampai sekarang pun masih berhubung. Anak dah sekolah dah pun πŸ™‚

    1. Yeke? Alhamdulillah Allah permudahkan semuanya. Bila hubungan baik, sampai bila-bila akan sentiasa teringat kan? Walaupun jauh dari mata πŸ™‚

Leave a Reply

Close Menu
Γ—

Cart