5 Jenis Bunyi Yang Membuat Bayi Ketawa Mengekek-ngekek.

Ketawa bayi sering menjadi perkara yang menyenangkan orang dewasa. Bahkan, ketawa bayi juga membantu menambah baik perkembangan emosional dan kecerdasannya. Selain itu, ketawa turut memberi rasa nyaman kepada bayi itu sendiri. Malah, bayi juga tidak mudah mengalami stres.

Membuat bayi ketawa bukanlah sesuatu yang sulit. Anda boleh merangsang ketawa si manja dengan memainkan bunyi-bunyian lucu seperti berikut.

1. Aaaaa…. Aaa… Chu!

Bersin yang dibuat-buat pasti menarik perhatian si anak. Tambahkan ekspresi muka yang pelik dan melampau-lampau. Buat aksi seolah-olah anda menghembus hingus untuk menggalakkan lagi si anak ketawa beria.

2. Lagu Rekaan

Ibu bapa yang baharu menimang cahaya mata, didapati kerap menyanyikan untuk si anak. Anak akan melayan apa sahaja rentak dan lagu yang didendangkan serta menjadi peminat utama anda. Biarpun liriknya bersahaja, dicipta sendiri oleh ibu bapa mereka.

3. Suara Merepek

Baaaaah, brrrrr, gepuk gepak, kuci kuci kuci…. Ini adalah antara bunyian yang boleh menghiburkan hati si anak. Ceriakan lagi dengan menambah bunyi-bunyi haiwan. Semakin kuat dan galak bunyinya, semakin galak si anak akan ketawa.

4. Mini Orkestra

Gambar bayi sedang memegang pengetuk xylophone.

Riuhkan rumah dengan bunyi-bunyian ala orkestra dengan melagakan sudu ke periuk, mengetuk xylophone atau memetik gitar mainan. Bermain alat muzik merupakan salah satu cara membantu menambah baik skil motor. Ianya juga dapat menguatkan otot tangan dan merangsang deria pendengaran terhadap bunyi-bunyian yang dihasilkan.

5. Dendangan Berirama

Nyanyikan lagu untuk si anak daripada koleksi puisi berirama kanak-kanak. Apabila anak biasa mendengar sesuatu lagu, mereka akan ikut menyanyi sejurus sahaja anda menyebut barisan pertama lagi. Sambil menyanyi buat gaya dan aksi menari. Selain berhibur, bayi akan turut merasai perhatian khusus sepenuhnya daripada ibu bapa mereka.

Pertumbuhan si anak semasa bayi berlaku begitu pesat sekali. Ambillah peluang untuk bersama-sama merangsang perkembangan mereka.

Sumber Gambar: Featured image by Juan, Unsplash

Shopping cart

0

No products in the cart.