Ini Fakta Yang Perlu Anda Tahu Tentang Ubun-ubun Bayi | Tasneem Naturel
Ini Fakta Yang Perlu Anda Tahu Tentang Ubun-ubun Bayi

Ini Fakta Yang Perlu Anda Tahu Tentang Ubun-ubun Bayi

Bayi baru lahir memang comel kan? Ibu ayah mesti tak sabar nak peluk cium bayi mereka. Yelah, 9 bulan lamanya dalam kandungan, tak lekang ibu ayah menghitung hari untuk memegang dan mendukung bayi yang dinanti-nanti.

Tapi, ibu ayah jangan seronok sangat. Ada satu bahagian tubuh bayi anda sangat lembut iaitu di bahagian kepala.

Apa ya?

Ubun-ubun.

Apa itu ubun-ubun?

Bahagian lembut pada kepala bayi ini dinamakan ubun-ubun atau nama saintifiknya fontanel. Terdapat dua bahagian fontanel pada kepala bayi yang baharu lahir iaitu:

Fontanel posterior

Fontanel posterior berada pada bahagian belakang kepala bayi dan berbentuk segi tiga. Fontanel ini lebih kecil berbanding fontanel anterior. Selain itu, fontanel ini agak sukar untuk dirasa oleh ibu bapa dan kebiasaannya akan tertutup sendiri apabila bayi mula mencecah usia 6 minggu.

Fontanel anterior

Fontanel anterior berada pada bahagian atas kepala bayi dan berbentuk seperti layang-layang. Fontanel ini lebih besar berbanding fontanel posterior. Selain itu, fontanel ini sangat mudah untuk dirasa oleh ibu bapa dan tidak akan tertutup dengan sempurna sehingga bayi mula mencecah usia 18 bulan.

Fungsi ubun-ubun

1) Memudahkan proses kelahiran bayi

Sebenarnya, ubun-ubun atau fontanel ini berfungsi memudahkan proses kelahiran bayi. Keberadaan ubun-ubun ini sangat berguna bagi memudahkan tengkorak bayi yang hanya dihubungkan oleh tisu-tisu ini berubah bentuk apabila sedang melalui jalan keluar ketika kelahiran melalui saluran vagina sekiranya bersalin secara normal.

Seperti yang sedia maklum, bahagian kepala bayi merupakan bahagian yang paling besar pada anggota badan bayi. Oleh itu, dengan kaedah semula jadi ini bayi akan lebih mudah untuk keluar. Anda tidak risau kerana lama-kelamaan, tulang-tulang ini akan bertemu dan bercantum lalu akan tertutup pada satu ketika nanti.

2) Memberi ruang untuk otak bayi berkembang

Bahagian lembut yang dipanggil ubun-ubun atau fontanel ini juga berfungsi memberi ruang untuk otak bayi berkembang. Menurut kajian, otak bayi akan mengalami perkembangan yang paling pesat ketika dua tahun pertama bayi anda. Oleh itu, gunakan masa ini untuk memberi nutrisi yang secukupnya kepada bayi agar otak bayi anda boleh berkembang sepenuhnya.

3) Memberi petunjuk tentang tahap kesihatan bayi

Selain daripada dua sebab di atas, ubun-ubun atau fontanel pada bahagian kepala bayi boleh menjadi petunjuk atau indikator tentang tahap kesihatan bayi. Sebagai contoh, sekiranya bahagian ini mendap, ia mungkin menunjukkan simptom bayi mengalami dehidrasi manakala jika bahagian ini kembung, ia mungkin menunjukkan simptom bayi menghidapi meningitis. Dengan cara ini, ibu bapa boleh mengetahui serba sedikit mengenai keadaan kesihatan bayi dengan melihat kepada keadaan bahagian ini.

Betul ke tidak boleh tekan ubun-ubun?

Sudah menjadi mitos bagi kalangan ibu bapa terutamanya ibu bapa baharu yang mempercayai bahawa ubun-ubun bayi boleh berubah bentuk sekiranya diletakkan dengan pelbagai tekanan. Sebenarnya mitos ini juga ada benarnya. Sebagai ibu bapa, anda perlu untuk lebih berhati-hati ketika memandikan atau membaringkan bayi. Jangan memicit atau menekan bahagian ini dengan terlalu kuat untuk mengelakkan sebarang perkara yang tidak diingini.

Ops, satu lagi!

Kalau boleh ibu ayah tak payahlah pakaikan aksesori pelik-pelik pada kepala bayi. Tunggu bayi besar sikit barulah ibu ayah boleh gayakan dengan gembira anak kecil anda dengan topi, bandana atau skarf.

Related image

Oh ya, kalau ibu ayah melihat ada perubahan bentuk yang agak mencurigakan terhadap ubun-ubun bayi anda, segera bawa anak anda berjumpa doktor. Walaupun kelihatan remeh, perkara-perkara sebegini wajar ibu bapa elakkan bagi memastikan perkembangan bayi anda yang lebih terjamin.

Sumber: Hello Sihat

Leave a Reply

Close Menu
×
×

Cart